Rabu, 15 Mei 2013

Definisi 'Melayu' dari Segi Etimologi


Etimologi: 
Kajian asal usul dan sejarah sesuatu perkataan serta makna perkataan tersebut. 
  1. Berasal daripada perkataan Malaya, iaitu kependekan 'hima alaya'. 'Alaya' bermaksud 'tempat' manakala 'hima alaya' bermaksud 'tempat bersalji'.
  2. Perkataan Malayapura yang bermaksud 'kota Melayu' atau 'kerajaan Melayu'.
  3. Dikatakan diambil daripada perkataan bahasa Jawa kuno, 'mlayu' yang bermaksud 'mengembara' atau 'pergi ke mana-mana'.
  4. Berasal daripada nama sebatang sungai, Sungai Melayu yang disebut dalam buku Sejarah Melayu.
  5. Van der Tuuk: Menyatakan bahawa perkataan Melayu bererti 'menyeberang', merujuk kepada orang Melayu yang menyeberang atau menukar agama daripada agama Hindu-Buddha kepada Islam.

Dari segi etimologi, 'Melayu' merujuk kepada mereka yang bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat resam orang Melayu. Perkataan Melayu mungkin berasal daripada nama sebuah anak sungai yang bernama Sungai Melayu di hulu Sungai Batang Hari, Sumatera. Di sana letaknya 'Kerajaan Melayu' sekitar 1500 tahun dahulu sebelum atau semasa adanya Kerajaan Srivijaya. Sehubungan itu, dari segi etimologi, perkataan 'Melayu' itu dikatakan berasal daripada perkataan Sanskrit 'Malaya' yang bermaksud 'bukit' ataupun tanah tinggi. Ada juga sumber sejarah yang mengatakan bahawa perkataan 'Melayu' berasal dari 'Sungai Melayu' di Jambi.

Istilah “Melayu” ditakrifkan oleh UNESCO pada tahun 1972 sebagai suku bangsa Melayu di Semenanjung Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, dan Madagaskar. Bagaimanapun menurut Perlembagaan Malaysia, istilah 'Melayu' hanya merujuk kepada seseorang yang berketurunan Melayu yang menganut agama Islam. Dengan kata yang lain, bukan semua orang yang berketurunan daripada nenek moyang Melayu adalah orang Melayu.

Istilah 'Melayu' untuk merujuk kepada nama bangsa atau bahasa adalah suatu perkembangan yang agak baru dari segi sejarah, iaitu setelah adanya Kesultanan Melayu Melaka. Walaupun demikian, tidaklah sehingga abad ke-17 bahawa istilah 'Melayu' yang merujuk kepada bangsa semakin digunakan secara meluas. Sebelum itu, istilah 'Melayu' hanya merujuk kepada keturunan raja Melayu dari Sumatera sahaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan