NILAI ILMU & MAKLUMAT



Nilai Ilmu dan Maklumat
   (a)   Ilmu Firasat
Ilmu firasat merupakan satu cabang daripada ilmu makrifat. Ia adalah jalan atau kaedah kedua bagi membolehkan kita membaca yang tersirat untuk disuratkan. Ilmu firasat lebih merupakan gerak hati, rasa di mana seseorang dicampakkan ilham ke dalam hatinya oleh Allah S.W.T. untuk memahami perkara-perkara yang tersirat. Ianya bukan ilmu yang berasaskan pemikiran, renungan, pengamatan atau kajian. Ianya diperolehi dengan secara tiba-tiba, jatuh ke dalam hati insan itu. Dia akan merasa senang hati, seronok, tenang atau terhibur apabila berhadapan dengan perkara-perkara yang akan membuahkan kebaikan kemudiannya. Atau merasa perasaan meluap, kebencian, tidak sedap hati dan sebagainya apabila berhadapan dengan perkara-perkara yang akan mengakibatkan terjadinya keburukan. Ilmu yang didapati dari bentuk ini berbeza dari psikologi.

      Ilmu psikologi adalah hasil pembacaan, pengamatan, kajian dan hasil kerja-kerja akal, manakala ilmu firasat adalah gerak hati yang dicampakkan oleh Allah. Sebab itulah mereka yang memperolehi ilmu firasat tidak menghadapi masalah keletihan akal kerana ilmunya lahir dari pacaran hati yang terikat dengan tali keimanan, yang digariskan atas syariat Allah walaupun ianya dapat menghasilkan ilmu yang banyak. Kaedah yang paling berkesan dan pratikal sekali yang boleh diperolehi oleh manuasia dalam menilai dan memahami perkara-perkara yang tersirat dengan tepat ialah melalui ilmu kasyaf (pandangan tembus), iaitu sebahagian dari ilmu mskrifat juga.

      Di sini insan tadi, Allah akan mengangkat hijabnya hingga dapat melihat alam roh dengan sebenar-benarnya. Sehinggakan apabila melihat seseorang, ia boleh melihat sama ada orang itu berkepala babi atau berkepala kambing atau berkepala ular dan sebagainya. Pasti secara lahirnya sifat-sifat itu akan terpapar pada tingkah laku peribadi tersebut. Malah bukan itu sahaja, ada yang dapat melihat pokok-pokok bertasbih, ayam membaca al-Quran dan sebagainya yang mana ini semua dianggap pelik bila diukur dengan kaca mata lahiriah.

   (b)   Ilmu Pendukunan
Jika kita halusinya dari sudut sosial masyarakat, ternyata dukun merupakan suatu institusi terpenting yang mengakari tradisi pribumi kita yang kaya dengan seni dan sejarahnya. Secara terbuka mahupun secara senyap, dukun tetap menjadi ‘pakar rujuk’ kepada semua lapisan masyarakat di Malaysia sehingga kini terutamanya dalam kalangan orang Melayu. Kepada orang kampung misalnya, dukun dicari jika anak menangis pada waktu tengah malam. Kepada anggota kelas menengah yang tinggal di bandar, dukun dianggap penting sebagai pembekal tangkal untuk mereka menghadapi pancaroba hidup kota yang semakin menekan. Kepada para peniaga gendut lagi kaya pula, dukun dianggap dapat membantu mereka membuka peluang baru dan mengekalkan kemewahan. Kepada ahli politik, dukun amat penting untuk menujum masa depan dan mengenal siapa kawan dan lawan.

      Lazimnya, kekuatan serta kewibawaan seseorang dukun bukan hanya berpunca daripada kemujaraban ubat-ubatannya, puaka serapah jampinya, atau kehebatan kuasa ghaibnya. Pengamatan masyarakat umum, khususnya kelompok sosial pengikut yang taat setia pada dukun, juga penting dalam mencipta, mempertahan dan menghebahkan imej ‘kesaktian’ seseorang dukun. Panduan simbiotik antara ‘yang nyata’ (the real) dan ‘yang dibayangkan’ (the imagined) telah mengangkat dukun ke suatu kedudukan teristimewa pada pandangan orang ramai (Shamsul Amri Baharuddin, 1993: 31). Oleh hal yang demikian, ‘yang nyata’ tanpa ‘yang dibayangkan’, atau sebaliknya pasti akan mengurangkan kehebatan dan kesaktian seseorang dukun itu.

      Bagi dunia yang lebih sekular, moden dan tidak super-natural sekalipun, masih juga mempunyai institusi ‘dukunnya’, tetapi diberi nama lain, seperti ‘pakar’, ‘pakar rujuk’, ‘perunding cara’, ‘penasihat utama’ dan sebagainya. Secara kebetulan, ramai di antara mereka ini bukanlah anak watan, tetapi selalunya orang lain. Ada juga yang mahir dan terkenal dalam bidang bersifat saintifik dan teknologikal serta tidak kurang juga yang dikatakan serba mengetahui dalam bidang ekonomi dan sains sosial. Ada juga yang bersendirian dan ramai yang telah menubuhkan firma perunding cara professional masing-masing bersama teman atau orang lain. Menurut Shamsul Amri Baharuddin (1993: 31), ada juga segelintir dukun yang dikenal sebagai scholar of fortune (sarjana upahan), seperti soldier of fortune (soldadu upahan), kerana mereka ‘mendagangkan’ pengetahuan, seperti peniaga pasar malam mendagangkan ikan kering, belacan dan ayam panggang untuk mendapatkan wang semata-mata. Tetapi, tidak semua ‘mendagangkan’ ilmu ghaibnya, masih ramai lagi dukun yang tidak meminta wang setelah mengubati pesakit.



       (c)   Ilmu Jampi
Perkataan al-Ruqa adalah kata jamak kepada perkataan Ruqyah iaitu jampi mantera. Jampi mantera merujuk kepada ‘bacaan yang memiliki ciri-ciri berdoa dan memohon perlindungi dan pertolongan’ yang dibacakan terhadap mereka yang sakit dengan tujuan untuk merawat penyakit yang menimpa mereka, seperti penyakit demam, disengat ular, dirasuk jin dan sebagainya. Jampi merupakan salah satu cara yang terdapat dalam aspek perhubungan dengan makhluk ghaib seperti hantu, penunggu, jin dan sebagainya. Jampi ialah susunan kata-kata yang puitis, mempunyai makna tertentu untuk sesuatu maksud atau tujuan tertentu. Jampi merangkumi serapah, penawar, tangkal dan sebagainya. Jampi juga dilafazkan sebagai kata-kata magis yang membawa makna dan pengertian serta maksud tertentu sebagai alat mengubat penyakit. Serapah digunakan sebagai alat untuk mengelak daripada gangguan makhluk halus. Manakala penawar pula bertujuan unutk menyembuhkan penyakit. Contoh jampi adalah seperti dibawah:
Batang kana batang kadam,
Batang buruk sangkar babi,
Hilang senak hilang tajam,
Aku tawar mintak menjadi,
Tajam tumpul tawar bias,
Aku naikkan tawar,
Aku turunkan bias,
Berkat doa La...
(Jampi Cika)


(d) Upacara Jampi
Jampi ataupun mantera ini boleh dikatakan terdapat dalam setiap upacara mengubati pesakit. Contohnya dalam perubatan menggunakan mayang pinang yang juga disebut orang mengulik mayang. Apabila seseorang itu jatuh pengsan atau jatuh sakit dengan tiba-tiba dukun akan dipanggil. Setelah kemenyan dibakar dan jampi diucapkan, dukun akan memulihkan pesakit dengan mengulik mayang. Caranya mayang pinang dikopek daripada seludang dan jampi akan dibacakan. Mayang yang sudah terurai itu diulik dan dikebas-kebas ke atas pesakit beberapa kali sambil bomoh membaca jampi yang panjang. Proses ini dibuat beberapa kali sehingga pesakit itu pulih dan terjaga dari keadaan tidak sedarkan diri. Jampi yang dibacakan ini bertujuan memujuk hantu atau jin yang merasuk pesakit tadi segera meninggalkan pesakit dengan bantuan mayang pinang yang diulik beberapa kali. Jampi ulik mayang yang selalu didengar ialah:

                                      Ulik mayang diulik,
                                  Ulik dengan jala jemala,
                                    Ulik mayang diulik,
                                Ulik dengan tuan puteri,
                               Yang laut balik ke laut,
                            Yang darat balik ke darat.

      Selain daripada mengulik mayang, jampi juga turut digunakan semasa mengurut pesakit. Mengurut ialah satu daripada aktiviti perubatan Melayu yang popular. Mengurut terdiri daripada lima katogeri iaitu mengurut orang patah tulang, orang terseliuh urat atau terkilir, orang bersalin, untuk sedapkan badan dan sebagainya. Mengurut orang yang patah tulang memerlukan kepakaran yang tinggi. Tidak semua tukang urut tahu mengurut orang patah tulang dan jika berlaku kesilapan semasa mengurut, kemungkinan pesakit akan pincang atau tempang sepanjang hayat. Setalah diurut, tempat yang patah akan dibebat yang bermaksud dibalut dengan kain berisi halia yang ditumbuk lumat dan dicampur dengan sedikit minyak tanah pada bahagian yang patah. Contoh jampi bagi mengurut pesakit yang terkilir adalah seperti berikut:

Lilih batang terkilih,
Terkilih air di bawah batang,
Aku menangkal si....terkilih,
Sekian urat sendi mendatang.
Titi batang ke titi,
Titi air di bawah batang,
Jangan bengkak jangan berisi,
Sekian urat sendi mendatang.



      (e)   Ilmu Pengasih
Ilmu guna-guna (At-Tiwalah) atau disebut juga sebagai ilmu pengasih (Mahabbah) adalah salah satu bentuk sihir yang berasal dari jin.  Perbuatan tersebut adalah musyrik kerana meyakini bahawa guna-guna itulah yang dapat mempengaruhi hati seseorang sedangkan ianya adalah perbuatan syaitan.  Guna-guna yang mendatangkan kemusyrikan adalah disertai dengan jampi-jampi untuk meminta bantuan jin. Terdapat beberapa tanda yang menunjukkan bahawa seseorang itu telah terkena ilmu pengasih. Antara tanda-tanda tersebut adalah seperti asmara dan cinta yang berlebihan, tidak dapat menahan rasa cintanya. Selalu teringat kepadanya, mentaati segala kemahuannya dan keinginan yang sangat besar untuk selalu melakukan hubungan seks. Ilmu ini disasarkan kepada individu-individu seperti individu lelaki atau perempuan yang:

  •  Benar-benar ikhlas dan jujur untuk berumah tangga, tetapi ditolak disebabkan kemiskinannya.
  • Benar-benar ikhlas dan jujur untuk berumah tangga, tetapi ditolak disebabkan rupa parasnya.
  •  Cacat fizikal tetapi mampu menyara kehidupan berkeluarga.
  • Telah menjadi duda atau janda tetapi jujur dan ikhlas ingin berumah tangga.
  • Berumur tetapi jujur dan ikhlas ingin berumah tangga.
  • Benar-benar jujur dan ikhlas berusha menyelamatkan individu lain dari melakukan maksiat dan dosa.
  • Berusaha menyelamatkan rumah tangga yang bermasalah.
  • Maruah keluarga atau dirinya dicabar, dihina dan dimaki dikhalayak ramai.
  •  Dizalimi atau dipermainkan secara sengaja.
      Oleh itu, tidak wajar dan berdosa bagi mana-mana individu yang menyalahgunakan ilmu ini. Perbuatan yang baik dengan niat yang betul akan dibalas Allah S.W.T dengan pahala, keberkatan dan nikmat rahmatnya.


    (f)   Maklumat Tentang Strata Sosial Masyarakat

Maklumat tentang strata sosial masyarakat dapat dilihat dengan begitu jelas pada sistem sosial masyarakat Melayu tradisional. Perkataan tradisional biasanya menggambarkan keadaan atau sifat sesuatu masyarakat sebelum kuatnya pengaruh modenisasi. Tradisional juga dihubungkan dengan cara hidup masa lampau. Ada dua penekanan yang penting tentang corak masyarakat Melayu tradisional iaitu masyarakat feudal Melayu yang wujud pada zaman kerajaan Melayu Melaka pada abad ke-14 atau abad ke-15 dan masyarakat sebelum campur tangan Inggeris abad ke-18 dan abad ke-19.

      Struktur masyarakat tradisional belum dipengaruhi oleh kuasa British sebelum abad ke-19, kerana walaupun kuasa luar yang terawal telah ada, struktur masyarakat sebenarnya masih bersifat tradisional. Walaupun Portugis telah sampai pada tahun 1511, cara pentadbirannya disesuaikan dengan sistem masyarakat Melayu semasa dengan pengertian bahawa personel (pegawai, kakitangan) sahaja yang baharu tetapi sistem keseluruhannya tidak dirombak.

      Struktur masyarakat Melayu tradisional merupakan lanjutan cara pemerintahan Hindu yang mengakibatkan perpecahan masyarakat berasaskan golongan bangsawan dan golongan rakyat. Rakyat hidup berkelompok dengan komuniti yang kecil berasaskan wilayah yang sama, selalunya di kawasan persisiran. Wujud pula perbezaan sosial antara mereka yang dihubungkan oleh faktor, misalnya pembahagian kerja, status dan kuasa. Dalam sistem hierarki, golongan bangsawan mempunyai prestij yang tinggi daripada yang lain. Kuasa yang dipegang oleh golongan bangsawan juga mencerminkan peranan mereka dalam membuat keputusan terhadap orang lain dan melahirkan darjah perbezaan yang memungkinkan struktur masyarakat tradisional dapat dikaji.


     (g)   Adat Istiadat

Menurut Jelani Harun (2010), adat istiadat Melayu adalah sebahagian daripada asas pengenalan bangsa Melayu. Sejak sekian lama, masyarakat Melayu sangat menekankan agar tahu adat dan memelihara istiadat dalam kehidupan seharian. Orang yang tahu adat akan sentiasa dihormati oleh masyarakat dan tahu pula menghormati masyarakatnya. Adat memberi panduan kepada masyarakat supaya sentiasa berada dalam batas nilai dan norma yang disusun oleh masyarakat. Perhubungan adat istiadat dengan sistem nilai masyarakat membentuk sebahagian daripada ciri utama keperibadian bangsa Melayu yang tahan zaman sehingga ke hari ini.

Dalam Kamus Dewan (2005:8), istilah ‘adat’ dimaksudkan secara umum sebagai ‘peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun di dalam sesuatu masyarakat sehingga menjadi hukum dan peraturan yang harus dipatuhi’. Sementara ‘istiadat’ pula membawa maksud ‘peraturan atau cara-cara melakukan sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan, adat kebiasaan, resam’. Nilai kebesaran dan kemuliaan adat (custom) amat bergantung kepada bagaimana adat itu diamalkan mengikut istiadat (customs and ceremonial) yang diwarisi dari generasi yang terdahulu. Adat dan istiadat merupakan dua unsur yang saling berkaitan antara satu sama lain. adat tidak akan membawa apa-apa makna sekiranya tidak dilaksanakan mengikut istiadat yang sepatutnya.

Adat istiadat raja-raja Melayu dapatlah dimaknakan secara lebih khusus sebagai nilai, kepercayaan pegangan atau perkara-perkara yang menjadi amalan turun-temurun institusi kesultanan Melayu yang harus dipatuhi oleh masyarakat yang tinggal atau berada di istana. Adat istiadat kesultanan Melayu berperanan sebagai peraturan dan ritual budaya hidup raja-raja dan pembesar yang perlu diamalkan selagi institusi kesultanan itu masih wujud. Dengan ini, maksud adat istiadat raja-raja agak berbeza daripada maksud ‘adat’ dan ‘istiadat’ msyarakat Melayu secara umum yang terdapat dalam Kamus Dewan di atas kerana dalam konteks tradisi raja-raja, adat istiadat adalah sesuatu yang lebih sacral atau magis sifatnya.

Sistem adat berlaku dan bergerak dalam masyarakat sebagai norma perhubungan antara manusia di samping norma perhubungan dengan ekologi dan alam ghaib. Norma perhubungan sesama manusia inilah yang banyak merupakan ‘adat’ dalam tanggapan biasa. Seluruh susunan peraturan yang biasa menjadi asas penilaian dan ukuran kelakuan atau fiil manusia dalam pergaulan dan percampuran adalah adat (Boris Parnickel, 1997:59). Bergantung kepada bidang pergaulan atau interaksi itu, maka adat membahagikan corak perhubungan dan kelakuan itu kepada pelbagai bentuk dan peri. Jika digunakan penggolongan dari adat Minangkabau, maka perhubungan manusia itu terdiri dari ‘adat yang teradat’, ‘adat yang diadatkan’, dan ‘adat istiadat’. Kesemua ini merupakan sebahagian daripada apa yang disebutkan dalam istilah hukum atau perundangan sebagai hukum adat.

      Berasaskan pembahagian corak hubungan ini, adat membahagikan masyarakat Melayu itu sebagai bersifat tinggi rendah dengan “setiap orang pada kedudukannya”di samping ada pula tanggapan sama rata “duduk sama rendah”. Antara kedua-dua tanggapan ini, kelihatan ada pertentangan namun kedua-duanya pada satu pihak adalah gambaran dari dua sistem yang berbeza dalam budaya Melayu. Pertama, susunan tinggi rendah adalah sistem kerajaan dan kedua, susunan sama rata adalah sistem rakyat (Boris Parnickel, 1997:60).

      Adat juga melahirkan pelbagai konsep budaya bukan sahaja untuk mengikat dan memajukan susunan kerajaan itu, bahkan memberi kelebihan bagi memelihara serta mengekalkan susunan itu sebagai suatu social order. Di sini kita dapat lihat kekudusan dan keagungan kuasa dari alam tabii dan semesta (kosmos), di mana sang raja menjadi perantara dan penghubung antara manusia dengan alam semesta dan ghaib itu. Keagungan kuasa alam itu bukan sekadar didukung oleh raja, bahkan diresapi sehingga raja itu menjadi personifikasi dari kuasa agung alam. Jadilah segala yang berkaitan dengan raja itu sebagai seseorang yang kudus dan suci sehingga kepada jejak kakinya, apatah lagi terhadap diri dan tubuhnya hingga ke kepala.


     (h)   Adat Temenggung
      i.        Latar belakang

Adat Temenggung diamalkan di semua negeri-negeri Melayu kecuali Negeri Sembilan. Adat Temenggung disusun oleh Datuk Ketemenggungan, iaitu abang tiri Datuk Perpatih Nan Sebatang di Palembang. Adat ini dibawa masuk ke Melaka pada awal abad ke-15. Dari Melaka, Adat Temenggung disebar ke negeri-negeri Melayu yang lain dengan perkembangan Empayar Melaka.


    ii.        Ciri-ciri


a. Lebih mementingkan lelaki
Adat Temenggung mengiktirafkan lelaki menjadi ketua keluarga. Maka, adat ini dikatakan lebih mementingkan pihak lelaki. Dalam hal perwarisan harta, lelaki yang mewarisi harta iaitu dari ayah kepada anak lelaki. Adat Temenggung juga mengkehendaki seseorang isteri tinggal bersama dengan keluarga suaminya. Selain itu, Adat Temenggung menganggap kedua-dua pihak keluarga sama penting. Perkahwinan di antara dua orang sepupu dibenarkan asalkan kedua-dua orang tua tidak mempunyai pertalian darah.

b. Undang-undang bersifat kekerasan
Sama seperti Adat Perpatih, undang-undang Adat Temenggung berbentuk peribahasa, bidalan dan sebagainya. Tetapi undang-undangnya bersifat kekerasan. Setiap orang yang melakukan kesalahan, dia akan di hokum dengan hukuman berat. Sebagai contoh, seseorang yang membunuh akan dijatuhkan hukuman mati. Mereka percaya bahawa hanya menggunakan kekerasan sahaja dapat mengurangkan niat seseorang untuk melakukan kesalahan.

c. Mempunyai unsur autokratik
Adat Temenggung mengutamakan kedudukan istimewa dan kebesaran pemerintah. Ia bukan sahaja memberi kuasa kepada pemerintah tetapi juga kepada para pembesar. Oleh itu, golongan pemerintah mempunyai kuasa berlebihan. Dengan itu, adat ini dikatakan bersifat autokrasi dimana semua kuasa adalah terletak dalam tangan pemerintah dan pembesar.




h)   Adat Perpatih
      i.        Latar belakang

Adat Perpatih diamalkan di Negeri Sembilan dan Naning oleh orang Minangkabau. Adat Perpatih dibawa oleh orang Minangkabau dari Tanah Tinggi Padang, Sumatera ke Negeri Sembilan pada abad ke-17. Adat Perpatih diasaskan oleh Datuk Perpatih Nan Sebatang dari Sumatera dengan nyanyian “Asal Usul Adat Perpatih”. Semua undang-undang Adat Perpatih kecuali undang-undang Sungai Ujong diwarisi secara turun-temurun.

Ciri-ciri
a. Lebih mengutamakan golongan perempuan
Adat Perpatih lebih mengutamakan golongan perempuan. Hal ini dapat dilihat dalam soal-soal pembahagian harta benda dan jurai keturunan. Ini bukan bermakna lelaki lebih rendah tarafnya daripada perempuan tetapi mereka lebih suka mengembara atau merantau untuk mencari penghidupan baru yang lebih baik. Maka, golongan wanita mesti dibekalkan dengan harta benda sebagai nafkah. Selain itu, selepas berkahwin, orang lelaki mesti meninggalkan kaumnya dan mengikut kaum isterinya. Walaupun adat ini mengutamakan golongan perempuan, tetapi dari segi pentadbiran, lelaki merupakan pemegang tampuk pemerintah tertinggi seperti jawatan Yamtuan Besar.

b. Undang-undang bersifat pemulihan
Undang-undang tidak disimpan atau dimaktubkan dalam bentuk rekod bertulis tetapi berbentuk bidalan, peribahasa, pantun dan sebagainya. Dari segi sifatnya, undang-undang jenayah adalah lebihbertimbang rasa, berperikemanusiaan dan bersifat pemulihan. Seorang yang membuat kesalahan akan didenda mengikut kesalahannya. Mangsa akan diberi ganti rugi. Contohnya, jika seseorang itu dilukakan dia akan diberi ganti rugi dalam bentuk ayam atau kambing bergantung kepada besarnya luka itu. Adat ini percaya bahawa orang yang melakukan jenayah boleh mengubah perangai mereka.

c. Mempunyai unsur-unsur demokrasi
Adat Perpatih adalah bercorak demokrasi, iaitu orang ramai dilindungi oleh undang-undang dan pemerintah sendiri juga mesti mengikut undang-undang dan tidak boleh berbuat sesuka hati. Dalam bidang pentadbiran, kuasa pemerintah dibahagikan di antara pemerintah, Undang, Lembaga, Buapak dan orang ramai. Ini bermaksud, orang ramai memilih Buapak, Buapak memilih Lembaga, Lembaga memilih Undang dan Undang memilih Yang Dipertuan Besar atau Yamtuan Besar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan